Jihad menurut pengertian Syara’ ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dalam menegakkan agama Allah S.W.T. di atas muka bumi ini. Berdasarkan kepada pengertian tersebut jihad amat memerlukan pengorbanan daripada seseorang muslim sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam. Perlu diingat pengorbanan tersebut bukan hanya sekadar mengorbankan nyawanya sahaja bahkan ianya juga merangkumi kesanggupan seorang muslim membelanjakan harta benda, menyerahkan tenaga, masa dan pemikirannya ke jalan Allah S.W.T.
Setengah ulama’ menggariskan lima jenis jihad seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu:
1. Jihad dengan ucapan.
2. Jihad dengan pendidikan.
3. Jihad dengan kuasa pemerintahan.
4. Jihad dengan politik.
5. Jihad dengan harta benda.
Sehubungan dengan itu, konsep jihad di dalam Islam amat luas pengertiannya. Ianya bukan hanya sekadar berjuang di medan peperangan untuk menegakkan agama Allah semata-mata malah jihad juga merangkumi perjuangan menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar, jihad melawan nafsu, berjihad menyatakan kebenaran Islam, berjihad menghapuskan kezaliman dan penindasan, berjihad menentang musuh-musuh Islam dan sebagainya.
Pendek kata jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan perjuangan yang menjuruskan kepada tertegaknya agama Allah S.W.T. sebagai teras utama yang mendasari kehidupan umat manusia sejagat. Perlu difahami bahawa konsep jihad juga ialah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap perkara yang dapat meninggikan kalimat Allah S.W.T. dan agama-Nya. Ini bermakna kita mestilah membuktikan bahawa Islamlah yang paling mulia dan tinggi dari sekalian agama yang lain di dalam segala bidang.
No comments:
Post a Comment